Thursday, December 30, 2010

JALAN DAKWAH..TABIATNYA & BALASAN BUAT YANG BERTAQWA..

Tabiat Jalan Dakwah


   "Aliif Laam Miim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Lantaran itu Allah mesti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta”. (Al-Ankabut:1-3)

   Jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan panjang. Kerana sesungguhnya antara yang hak dengan batil ada pertentangan yang nyata. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang berterusan dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang dikehendakiNya.

   Mungkin anda tidak akan dapat melihat natijah serta hasilnya ketika anda masih hidup. Sesungguhnya kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya. Sesungguhnya apa yang akan ditemui oleh para duat di jalan Allah adalah gangguan dan tekanan dari golongan taghut dan musuh-musuh Allah yang mahu menghapuskan mereka, memusnahkan dakwah mereka atau menghalang mereka dari berdakwah. Itu adalah lumrah yang telah berlaku berulang kali di zaman ini. Semuanya didorong oleh rasa takut golongan taghut. Mereka takut kuasa mereka yang berdiri di atas dasar kebatilan akan musnah apabila yang hak bangun dan tegak untuk menghapuskan kebatilan.
 
"Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap."(Al-Anbiyaa': 18)

   Bagi menghalakan terkaman dan cengkaman kuku besi mereka ke atas dakwah al-hak dan para pendokong dakwah, mereka terlebih dahulu akan mereka-reka pelbagai tuduhan yang paling keji dan dusta itu kemudiannya dilemparkan kepada para pendokong dakwah. Mereka gambarkan kepada manusia bahawa para pendokong dakwah adalah musuh negara dan musuh orang ramai supaya orang ramai bangun menentang mereka seperti apa yang dilakukan oleh Firaun dan para pembesarnya terhadap Nabi Musa.
 
"Dan berkatalah Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): Biarlah aku membunuh Musa dan hendaklah dia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerosakan dimuka bumi"(Al-Mukmin: 26)
   Subhanallah, Maha Suci Allah. Demikianlah sikap Firaun dan pembesar-pembesarnya, sikap pengikut-pengikut Firaun di zaman itu ataupun di zaman ini. Nabi Musa dituduh sebagai perosak dan Firaun dianggap sebagai pembela bangsa dan memelihara kepentingannya. Pembesar-pembesar Firaun menghasut Firaun supaya menentang Musa dan kaumnya serta menakut-nakutkan Firaun akan perbuatan Musa. 
   Lalu Firaun menenangkan fikiran mereka dengan menyatakan bahawa dia akan mengawasi Musa:

"Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Firaun (kepada Firaun): Apakah kamu akan membiarkan Musa dan kaumnya untuk membuat kerosakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?.

   Firaun menjawab : Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, sesungguhnya kita berkuasa penuh ke atas mereka"  (Al-A'raaf: 127)

Balasan Baik Bagi Orang-orang Yang Bertakwa

   Namun, semua itu tidak melemahkan iman Musa dan kaumnya. Musa mewasiatkan kepada mereka supaya bersabar dan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. dan menggembirakan mereka serta menenangkan hati mereka dengan mengingatkan bahawa bumi ini kepunyaan Allah. Dia pasti akan mempusakakannya kepada hamba-hambanya yang bertakwa.

"Musa berkata kepada kaumnya: Mohonlah pertolongan dari Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, dipusakakannya kepada sesiapa yang dikhendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" (Al-A'raaf:128)

Jadi jalan dakwah, walau bagaimana pun susahnya, deritanya dan pahit akibatnya, tetapi terjamin hasilnya.

"Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman " (Ar-Rum:17)

(dipetik dari kitab Tariq Da'wah by Al-Ustaz Mustafa Masyhur)

No comments: