Wednesday, July 16, 2008

Muqaddimah & Natijah

“Kamu rasa bersalah tak lupakan ilmu yang diajar oleh pensyarah kamu? Ingat lagi kisah Imam Syafei? Dia terlupa ilmunya hanya kerana satu dosa,” kata-kata pensyarahnya seringkali bermain di penjuru fuadnya.



Saban waktu Lina terfikirkan kata-kata itu. Betapa banyaknya dosa yang dilakukan sehingga dia gagal mengingati ilmu yang diajarkan oleh pensyarahnya. Dia bersyukur pada Allah kerana berpeluang untuk bertemu dengan Kak Yana. Belum sempurna lagi taaruf di antara mereka lantaran keterbatasan waktu, tapi sempat dia meluahkan isi hatinya. Seakan-akan berlaku sesi ’curhat’ (curahan hati) ketika itu. Ukhwah kerana Allah terlalu indah. Insan yang merasainya seolah-olah berada dalam kecintaan yang amat. Cinta itu dapat dirasai walau hanya sebentar. Kata-kata Kak Yana seolah-olah memberinya motivasi kembali.



”Pertamanya adik tidak boleh anggap kisah Imam Syafei itu sebagai hukuman. Adik perlu menganggapnya sebagai motivasi. Dulu waktu akak belum mengenali tarbiah, akak pernah sahaja ber’couple’. Dunia akak penuh maksiat. Dan apabila akak mengenali tarbiah, ada juga suara yang berkata bahawa dosa yang pernah akak lakukan dulu akan dibalas di dunia. Ada yang berkata bahawa akak tidak akan mendapat suami yang soleh kerana di dalam Quran disebut lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Ada juga yang berkata seandainya akak mendapat suami yang baik, anak-anak akak pula tidak akan menjadi kerana akak akan dihukum oleh dosa-dosa akak yang lalu. Lantas akak tanyakan pada ustaz berkenaan persoalan ini”.



”Apa jawapan ustaz?” ujar Lina dengan penuh debar.



“Pertamanya ustaz tegaskan kat akak kalau akak percaya kata-kata yang akak akan mendapat suami yang buruk dan anak-anak yang tidak menjadi lantaran kerana dosa akak dahulu, maksudnya akak menutup pintu taubat yang Allah berikan. Ustaz katakan kat akak ayat Quran itu sebenarnya satu bentuk motivasi dari Allah. Seandainya kita nak suami yang soleh, kita hendaklah berusaha menjadi solehah. Tapi Allah yang menentukan segala perkara dan natijah. Segala kata-kata pensyarah adik itu satu bentuk motivasi agar adik elakkan diri dari dosa dan bukan satu hukuman,” jawab Kak Yana dengan penuh makna.



Seterusnya Kak Yana bertanyakan soalan, “Adik pernah baca muqaddimah tafsir fi zilalil quran (tafsir di bawah lembayung Quran) oleh Syed Qutb?



Dengan muka berkerut-kerut Lina berkata, “Kenapa kak? Ada apa-apa ke?”



”Seandainya semua orang kat dunia ni faham perkara yang Syed Qutb tekankan dalam muqaddimahnya, tiadalah kesedihan di dalam hati mereka”.



”Apa yang Syed Qutb katakan dalam muqaddimahnya?” tanya Lina kembali.



Kak Yana menghulurkan tafsir fi zilalil quran kepada Yana dan menunjukkan muqaddimahnya. Di dalamnya tercatat:



"Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu disamping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.



Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan."



”Adik faham tak?” tanya Kak Yana.



”Boleh akak terangkan kat saya?”



”Dalam hidup ini kita tidak boleh mengaitkan muqaddimah dengan natijah. Kita tidak boleh cakap kita lupa sebab dosa kita. Contohnya, tidak semua yang belajar akan berjaya. Ada yang belajar 12 jam sehari tetapi masih gagal. Ada pula yang hanya belajar sebentar sahaja tapi berjaya. Kita dah diajar bahawa untuk berjaya kita perlu berusaha. Tapi sebab berusaha tu belum tentu lagi menjanjikan kejayaan. Apa yang menentukan kejayaan atau kegagalan? Iradat Allah yang bebas. Kehendak Allah yang tidak mampu dijangkau oleh manusia. Apabila adik mengangkat tangan misalnya, semua itu Allah dah tentukan sejak sebelum adik lahir lagi. Apatah lagi urusan kejayaan atau kegagalan. Tapi sebab adik tidak tahu apa yang Allah dah tentukan untuk adik, maka adik akan berusaha”.



Kak Yana menambah lagi, ”Sunnatullah menyaksikan mereka yang berusaha akan berjaya. Adik perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Tapi jangan sesekali mengaitkan muqaddimah dengan natijah. Apa sahaja keputusan yang adik perolehi semuanya dalam pengetahuanNya. Tiada lagi kesedihan dalam hati setiap Muslim yang memahami hal ini kerana dia mengetahui bahawa Allah penentu segalanya”.



”Saya dah faham. Terima kasih, kak.”. Ujar Lina dengan hati berbunga-bunga untuk terus berusaha.

No comments: