Monday, November 10, 2008

Konsep lakonan dalam Islam..



Awal Ogos lalu, para artis di Malaysia telah diraikan dalam satu majlis yang dikenali sebagai Festival Filem Malaysia (FFM-21) yang telah diadakan di Auditorium Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan baru-baru ini iaitu pada Jumaat 7 November 2008 berlangsung penyampaian anugerah Skrin 2008 serta banyak anugerah lagi yang telahpun dianjurkan sebelum itu, tetapi yang istimewa anugerah Skrin kali ini berlangsung selepas umat Islam berpuasa sebulan Ramadan dan pada bulan haji yang mulai.

Ia dianjurkan kerana mahu memartabatkan golongan artis berkenaan yang berjasa dalam bidang seni tanahair khususnya dalam perfileman, iaitu untuk mengangkat kedudukan siapa di kalangan mereka dinobatkan sebagai artis lelaki dan wanita terbaik.

Bermacam-macam filem dipertandingkan tanpa merujuk kepada yang lebih arif tentang selok-belok agama Islam yang menjadi pegangan kebanyakan golongan artis, apabila ia tidak dirujuk, maka terdapat filem-filem yang disifatkan oleh agama sebagai yang bercanggah sama sekali dengan nilai-nilai Islam, ia bukan sahaja tidak menepati piawaian agama, malah menimbulkan sensitiviti dan seolah-olah mencabar kewibawaan ulama.

Antara filem yang dipertandingkan termasuk Anak halal,Akhirat,Kala Malam Bulan Mengambang(iaitu filem terbaik yang menggondol beberapa hadiah utama) dan lain-lain.

Sebenarnya Islam tidak melarang persembahan seni, tetapi ia perlu diselarikan dengan nilai-nilai agama, ini bermakna tidak ada unsur-unsur tidak sihat seperti berpegangan tangan antara para artis lelaki dan perempuan, tiada tidur sekatil kerana yang berlakon bukanlah suami-isteri yang sah dan banyak lagi yang perlu dipelihara dengan cermat.

Kalau diperhatikan filem-filem yang dipertandingkan itu, kebanyakannya melanggar hukum-hukum agama, malah boleh menjejaskan akidah seseorang kerana melibatkan pegangan dan kepercayaan seperti dalam filem ?Akhirat?, kesempatan ini bukanlah forum untuk membincang secara terperinci mengenai penganjuran FFM-21 antara boleh dan tidak boleh.

Tetapi ia lebih kepada untuk melakukan muhasabah diri pada diri penulis dan golongan artis, apabila dikatakan Islam membolehkan lakonan dilakukan, sebenarnya ia telah dibuktikan oleh Gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir pada tahun 60-an, di mana mereka mementaskan teater filem bertajuk Panglima Salahuddin Aiyubi yang dilakonkan kesemuanya di kalangan artis-artis lelaki.

Teater berkenaan mendapat sambutan di luar jangkaan umum yang pada awalnya dipandang sinis oleh sesetengah penggiat seni, tetapi apabila ia berjaya dilakonkan dengan baik, ia diberi pengiktirafan yang sewajarnya erana membawa mesej jelas mengenai kedatangan Islam sebagai agama penyelamat manusia sejagat, Islam bukanlah untuk bangsa Arab semata-mata, malah buat semua bangsa manusia yang menetap di bumi ini, justeru Salahuddin berjaya memecah tembok perkauman dan mengajak bangsa Arab bangkit untuk berjihad.

Pelakon lelaki dan wanita terbaik pada hari akhirat

Terdapat sesetengah para cendikiawan menegaskan, bahawa seseorang muslim itu tidak perlu berlakon dalam sesebuah filem, teater, drama dan sebagainya, kerana dalam lakonan ia sering dikaitkan dengan penghafalan skrip-skrip yang memakan masa tempoh yang lama.

Sedangkan orang-orang Islam khususnya telah pun ada di hadapan mereka skrip-skrip yang termaktub dalam al-Quran sejak dari dulu lagi dan hadis-hadis baginda yang sepatutnya dihafal dengan baik, Pengarahnya adalh Allah dan penolong-Nya adalah baginda Rasulullah s.a.w., juru kameranya pula adalah para Malaikat yang akan merakam segala tindakan baik dan jahat seseorang.

Sudah pasti yang berjaya menghafal skrip berkenaan adalah baginda Rasulullah s.a.w. dengan memegang watak utama dalam lakonan kehidupan ini, baginda merupakan pelakon lelaki terbaik dunia dan akhirat, para sahabat adalah pelakon-pelakon pembantu lelaki dan wanita terbaik yang akan mendapat anugerah lakonan terbaik daripada Pengarah lakonan, iaitu Allah SWT.

Padang Mahsyar adalah tempat berlangsungnya pemberian anugerah masing-masing kepada para plekon yang berjaya menghafal skrip yang dirakam oleh para Malaikat yang bertindak sebagai juru kamera professional yang diiktiraf Allah SWT.

Kenapa mesti berlakon?


Apabila dinilai semula lakonan-lakonan yang terdapat dalam filem ?Akhirat?, sebenarnya tidak ada kena mengena dengan persoalan akhirat yang menghimpunkan seluruh manusia untuk diperhitungkan segala amalan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia dahulu, kerana filem berkenaan banyak menampilkan adegan yang sesuai dengan tajuknya, apatah lagi para pelakonnya yang berpelukan, berpegangan, mendedahkan aurat yang menggambarkan tidak takut kepada hari akhirat.

Sedangkan dalam realiti hidup para artis sendiri, kebanyakan mereka walaupun terdapat segelintir yang boleh membaca ayat-ayat al-Quran dengan baik, namun peratusannya terlalu sedikit, apa yang dapat disaksikan pada hari ini, mereka yang tidak boleh baca al-Quran atau pun menghafal ayat-ayat penting di dalamnya amat mengecewakan banyak pihak, malah mereka inilah yang sering dipaparkan dalam media sebagai role model kepada remaja masa kini.

Tidak menjadi kesalahan, jika industri filem tempatan membuat satu kelainan dengan menampilkan filem-filem berbentuk nasihat, motivasi diasingkan para pelakon lelaki dan wanita bagi menumpukan mesej yang hendak disampaikan kepada umum untuk dijadikan iktibar dan bahan renungan, kerana industri filem tanahair telah pun banyak menerbitkan filem-filem bercorak hiburan melampau, humor yang tidak memberi input positif kepada penonton.

Oleh : Ustaz Zainuddin Hashim

No comments: