Tuesday, November 18, 2008

Qudwah kepada Remaja Islam



Alangkah besarnya peranan remaja dalam Islam, jika kita mengkaji sejarah Islam. Kebanyakan gerakan perubahan yang berlaku dalam sejarah umat, sebahagian besarnya melalui peranan remaja, ianya berlaku bukan secara spontan, bahkan ia merupakan sunnah dan peristiwa yang berulang-ulang.
Marilah kita sama sama merujuk kepada sejarah Islam..
Ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah saw…

Siapakah yang menjadi sasaran wahyu…?
Siapakah yang menanggung bebanan risalah Islam..?
Siapakah yang memikul tanggung jawab risalah Islam dengan amanah…?
Siapakah yang menjadi sandaran Rasulullah saw dalam merubah sistem hidup di Mekah…bahkan dalam perubahan sistem hidup umat manusia keseluruhannya… bukan pada zaman Rasulullah saw sahaja malah sehingga hari kiamat…?


Siapakah golongan digelar ‘as-sabiqun’ dalam sejarah Islam..? Siapakah generasi terbaik di kalangan umat manusia? Rasulullah saw menyifatkan dengan sabdanya yang bermaksud; "Sebaik baik manusia adalah yang sezaman denganku, kemudian mereka yang hidup sezaman generasi sahabat dan kemudian mereka yang hidup sezaman dengan generasi tabien” hadis dari Abdullah bin Mas’ud ra diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Siapakah yang berhadapan dengan taghut di Mekah dan di semenangjung tanah Arab..? Siapakah yang menewaskan empayar Parsi dan Rom..?

Siapakah yang berjuang menentang aliran aliran memusuhi Islam dan menyengutukan Allah..?

Wahai Para Remaja!!!

Rujuklah sejarah.. bacalah buku buku sejarah… kamu akan dapati contoh-contoh dan qudwah kepada para remaja….

Siapakah Zubair bin al A’wam ra?

Beliau digelar hawari Rasulullah saw dan Farisul Islam. Berapa umur beliau ketika memeluk Islam? Beliau berumur 15 tahun ketika memeluk Islam.. sebaya dengan usia remaja tingkatan 3!!!

Adakah pelajar pelajar tingkatan 3 sekarang berfikir, bermimpi, bercita-cita dan berusaha seperti Zubair bin al A’wam?

Siapakah Talhah bin Ubaidullah ra?

Di antara anggota asasi dalam Jamaah Islam yang baru lahir di kota Mekah, sebagai seorang tokoh da'ie, seorang pahalawan yang mahir, gagah dan ke hadapan dan seorang dermawan fi sabililLah, sehinggakan Rasulullah saw memberi kurniaan ‘Talhah Al Khair’. Beliau hanya berusia 16 tahun ketika ia memeluk Islam.

Adakah kamu kenal Saad bin Abi Waqas ra?

Seorang sahabat yang besar….orang yang pertama darahnya mengalir kerana Islam, doanya mustajab. Satu-satunya sahabat yang Rasulullah saw tebus dengan kedua ibubapanya, ketika mana Rasulullah saw berkata kepada Saad bin Abi Waqas dalam peperangan Uhud "irmi Saad fida’ka abi wa ummi" yang bermaksud "Wahai Saad panah! Ganti kamu bapaku dan ibuku" yang diriwayatkan oleh Imam at Tarmizi

Beliau berusia 17tahun ketika memeluk Islam.

Adakah kamu kenal al Arqam bin Abi Arqam al Makhzumi ra?

Seorang sahabat yang menjadi sebutan semua umat Islam, kerana dia sanggup menjadikan rumahnya sebagai markaz dakwah selama 3 tahun. Dia dari kabilah bani Makhzumi, kabilah yang bersaing dengan bani Hasyim untuk memegang panji panglima perang. Rumahnya dijadikan markaz gerakan dakwah Islam yang dipimpin oleh Rasulullah saw dari bani Hasyim, apa akan berlaku kepadanya jika ia diketahui oleh pembesar-pembesar kabilah atau diketahui oleh kaum kerabatnya. Tentulah dia dituduh sebagai pengkhianat kerana bersubahat dengan kabilah seterunya. Jangan kita lupa bahawa 'Fir’aun umat', Abu Jahl dari kabilah bani Makhzumi adalah merupakan musuh nombor 1 dakwah Islam pimpinan Rasulullah saw. Semua halangan dan cabaran ini dapat diatasi oleh al Arqam bin Abi Arqam dan beliau sanggup mengambil segala risiko, dan sanggup berkorban demi kerana Islam. Dia hanya baru berusia 16 tahun.

Cuba bayangkan apakah remaja yang seusia dengannya fikirkan, apa yang dimimpikan, mungkin mahu menjadi juara Akademi Fantasia, Gangstarz, One In a Milion dan sebagainya.

Kita ketika membaca kisah pahlawan-pahlawan seperti Zubair bin al A’wam ra, Talhah bin Ubaidullah ra, Saad bin Abi Waqas ra, al Arqam bin Abi Arqam al Makhzumi ra dan ramai lagi seolah-olah kita membicarakan kisah pahlawan-pahlawan agung. Memang mereka semua pahlawan-pahlawan yang agung dalam usia remaja. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah umat Islam dari segi aspek pengetahuan, kesungguhan, keimanan, akhlak dan amal. Sepatutnya remaja hari ini bangga menjadi mereka sebagai qudwah, ikutan dan impian, lebih lebih lagi mereka adalah sahabat-sahabat kepada junjungan besar Rasulullah saw yang merupakan generasi terbaik bagi umat Islam.

Oleh : Ustaz Mohamad b. Ismail

No comments: