Wednesday, February 25, 2009

INFERTILITI..takrif dan penjelasannya..

Tidak dapat dinafikan, dalam satu ikatan perkahwinan setiap pasangan menginginkan kelahiran zuriat. Anak bukan sahaja sebagai penyejuk mata tetapi juga sebagai kesinambungan baka dan kehidupan. Tetapi, tidak semua pasangan dianugerahkan anak. Infertiliti atau kemandulan adalah satu masalah yang semakin meningkat dewasa ini. Satu dalam sepuluh atau 10% pasangan mengalami masalah infertiliti.

Infertiliti ditakrifkan sebagai ketidakupayaan pasangan untuk mengandung setelah setahun berkahwin. Proses kejadian manusia adalah suatu yang cukup teliti yang telah disusun oleh Allah swt. Ianya bermula dari pertemuan sperma (benih lelaki) dengan ovum (benih wanita) di saluran fallopian dan seterusnya zygot (benih yang telah bercantum) ini akan tertanam di dinding rahim. Gangguan pada mana-mana tahap ini boleh menyebabkan infertiliti.

Gambar menunjukkan proses percantuman benih dan implantasi di dinding rahim





Infertiliti boleh terjadi kepada kedua-dua pasangan baik lelaki ataupun wanita. Satu pertiga daripada faktor-faktor yang menyumbang kepada infertiliti adalah daripada masalah yang ada pada lelaki, satu pertiga daripada wanita dan selebihnya kombinasi dari kedua-dua lelaki dan wanita. Namun, lebih kurang 20% daripada pasangan yang mandul, tiada masalah dapat dikesan dari ujian-ujian yang dijalankan (unexplained infertility). Antara masalah yang timbul daripada pasangan lelaki adalah seperti gangguan ereksi atau masalah pada sperma seperti tiada benih (azospermia), benih yang kurang jumlahnya (oligospermia) atau bentuk benih yang tidak normal. Masalah ini akan dapat dikenalpasti setelah pemeriksaan dan juga ujian pada sampel air mani untuk menentukan tahap kesuburan.

Bagi pasangan wanita pula, infertiliti boleh disebabkan oleh gangguan pada pengeluaran telur/ovum. Pengeluaran telur dapat dijangkakan jika seseorang wanita itu mempunyai kitaran haid yang teratur dan ditentukan melalui ujian darah dan juga ujian ultrasound. Pengeluaran telur banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran contohnya umur. Jika umur seseorang wanita itu semakin meningkat, jumlah serta kualiti telurnya akan menurun. Justeru itu, kesuburan amatlah berkait rapat dengan usia wanita. Tahap kesuburan adalah paling tinggi di sekitar usia 20-30 tahun dan seterusnya menurun. Pada sesetengah wanita pula, terdapat gangguan pada pengeluaran telur disebabkan oleh hormon yang tidak stabil, misalnya pesakit Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS) dimana pesakit mempunyai gangguan pada kitaran haid iaitu haid yang tidak menentu, obesiti atau kegemukan dan juga kemandulan. Bagi pesakit PCOS ini, mereka dinasihatkan untuk menurunkan berat badan di samping rawatan ubat seperti Metformin dan ubat subur seperti clomid.

Infertiliti juga boleh terjadi jika terdapat sumbatan pada tiub fallopian iaitu tempat dimana persenyawaan diantara ovum dan sperma terjadi. Tiub fallopian boleh tersumbat disebabkan oleh jangkitan kuman atau penyakit seperti endometriosis. Ujian seperti HSG iaitu sejenis X-Ray atau pemeriksaan laparoskopi (pembedahan kecil dimana teropong atau scope dimasukkan melalui pusat untuk melihat tiub fallopian) dapat menentukan keadaan tiub fallopian.

Rawatan yang bersesuain akan diberi setelah ujian seperti analisis air mani, pengambilan darah untuk menentukan pengeluaran telur dan juga X-Ray atau laparoskopi dilakukan. Dalam kebanyakan kes, rawatan melalui ubat-ubatan akan dapat mendatangkan hasil. Sementara dalam kes-kes yang lebih rumit lagi kaedah bantuan reproduktif seperti permanian beradas/ IUI (Intrauterine insemination), bayi tabung uji/IVF (In Vitro Fertilization) perlu dilakukan. IUI adalah kaedah dimana air benih lelaki diproses dan seterusnya benih yang telah diasingkan dari sel-sel mati/protin dimasukkan ke dalam rahim melalui sejenis alat. IVF pula adalah keadaan dimana persenyawaan di antara benih dilakukan di makmal dan seterusnya benih yang telah disenyawakan akan dimasukkan ke dalam rahim. Dari segi hukum, kaedah bantuan reproduktif adalah dibenarkan oleh syarak asalkan benih datang dari lelaki dan perempuan yang mempunyai ikatan yang sah supaya nasab terpelihara.

Pasangan infertile adalah dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan secepat mungkin dan dalam tempoh pemeriksaan hendaklah banyak bersabar kerana tempoh rawatan adalah panjang dan bertahap. Daripada pengalaman saya, ramai pasangan yang tidak sabar dan kerap beralih tempat untuk mendapatkan rawatan menyebabkan pemeriksaan dan rawatan menjadi sukar. Sebagai seorang muslim, pasangan infertile juga perlu banyak berdoa kerana zuriat merupakan rezeki dan setiap rezeki itu adalah hak Allah untuk memberinya. Ambillah iktibar dari kisah Nabi Zakaria dan isterinya yang tidak henti-henti berdoa supaya dikurniakan zuriat oleh Allah swt.

Dr. Murizah Zain

Pakar O&G

Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, Kedah

No comments: