Wednesday, April 29, 2009

Kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh Merangkumi Syariatullah & Sunnatullah

Kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh Merangkumi Syariatullah & Sunnatullah
Bismillah..
Sedikit penulisan ingin ana coret di sini. Just nak kongsi kegembiraan hati seorang mentor apabila semua ahli-ahli smart circle (SC) hadir semasa SC semalam..jazakumullahukhairan jazak utk ahli2 SC ana & akhi ihsan..ana pasti,ihsan pun mesti gembira dgn kehadiran antum semalam ke rumahnya walaupun dlm kesibukan kita dalam menuntut ilmu perubatan di Iskandariah ini. Ini membuktikan jiwa pemuda-pemuda Islam kini masih inginkan perhatian dan perkongsian untuk menuju sinar Islami. Kisah Sultan Muhammad Al-Fatih yg dibincangkan insyaAllah mungkin berjaya menyedarkan kita semua hakikat kehidupan remaja/pemuda Islam yg sebenar. Kita punya banyak tanggungjawab dan peranan. Memahami Islam, mengamalkan Islam, berdakwah dan menuntut ilmu. Inilah antara peranan & tanggungjawab remaja Muslim masa kini yang telah digariskan oleh As Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Teringat kata2 Samad semasa SC mlm tu.. "Saidina Ali Karramallahuwajhah ada mengatakan sekiranya kita nak mengetahui akan masa depan sesebuah ummah tu, maka lihatlah remaja2nya ketika itu"..
   
Di bawah ni disekitkan serba sedikit tentang kisah Sultan Muhammad Al-Fatih. Siapakah sebenarnya beliau? Sama2 kita hayati kisah perjuangan beliau..
   Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam perang Khandak yang bermaksud “Kota Constantinople itu pasti akan dapat berada di tangan umat Islam & pada masa itu sebaik-baik ketua adalah ketuanya & sebaik-baik tentera adalah tenteranya”.
    Sultan Muhammad Al-Fateh, nama sebenar Muhammad Bin Murad telah dilahirkan pada 29 Mac 1432, anak sulung kepada Khalifah ke-6 kerajaan Othmaniah, Sultan Murad II. Beliau diberi gelaran Al-Fateh kerana telah berjaya membuka & menawan Constantinople yang dikuasai kerajaan Rom pada waktu itu, sekaligus merealisasikan hadis Rasulullah S.A.W. seperti di atas.
 
   Daripada hadis Rasulullah S.A.W ini, banyak percubaan daripada tentera Islam untuk menawan kota tersebut termasuklah percubaan sahabat nabi Abu Ayyub Al-Ansori di zaman Muawiyah bin Abu Sofian (percubaan 1), Sulaiman b Abdul Malik (K.Umayyah), Khalifah Harun Al-Rasyid (k. Abbassiyah) seterusnya oleh Khalifah Othmaniyah termasuk Sultan Murad II- kesemua percubaan gagal. Sedangkan kawasan disekeliling Constantinople telah pun ditawan oleh Islam.
    Constantinople adalah ibu negara Empayar Byzantine (Rom)- bandar terbesar & utama dunia. Sejak kecil beliau telah dididik oleh Syeikh Muhammad Ismail Al-Qurani sejak berusia 10 tahun. Beliau telah pun selesai menghafal Al-Quran & mempelajari ilmu Islam lain sejak kecil. Ketika berumur 14 tahun beliau dilantik menjadi gabenor wilayah Manisa. Dalam masa yang sama Asy-Syeikh Ak Samsettin merupakan murabbi Sultan Muhammad yg banyak memberi kesan kepada pembentukan akhlak dan peribadi Sultan Muhammad. Syeikh Ak Samsettin menguasai ilmu Islam (hadis, feqah dll) dan ilmu sains (biologi ketenteraan dll).
   Kebijaksaan & ketinggian peribadi Sultan Muhammad dipamerkan melalui pelaksanaan Syariatullah & Sunnatullah dalam usahanya menawan Constantinople. Dari segi Syariatullah, beliau mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya, beliau & tenteranya menjaga amal ibadat mereka, sentiasa membersihkan diri di hadapan Allah, berzikir & berqiamullail dan ulama’ sentiasa memberi semangat kepada tentera akan kelebihan jihad & kemuliaan para syuhada. Mereka berusaha menawan Constantinople dengan niat untuk menegakkan kalimah Allah & menyebarkan Islam bukan dengan tujuan untuk bermegah-megah.
   Dari segi Sunnatullah(usaha beliau), Sultan Muhammad telah mengkaji kekuatan & kelemahan musuh contohnya mengukur ketebalan tembok Constantinople, beliau telah mendapatkan khidmat pakar membina meriam untuk menghancurkan kubu Constatinople, mengarahkan tentera Islam mengepung kota Constantinople dari semua sudut. Sultan Muhammad & tentera Islam tidak menyerah kalah walaupun diserang oleh tentera salib. Laluan laut tentera Islam disekat justeru itu Sultan Muhammad mengarahkan tenteranya menarik 70 kapal melalui bukit yang melebihi 3 batu untuk sampai ke perairan Tanjung Emas pada waktu malam.
    Keesokan harinya penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir & nasyid para mujahiddin. Pada 29 Mei 1453 Constantinople telah ditawan Islam. Sultan Muhammad Al-Fateh, 21 tahun, sujud ke bumi tanda kesyukuran. Beliau terus menuju ke Gereja Aya Sofya, dengan penuh toleransi, menyuruh penduduk keluar dari gereja. Justeru itu ramai dikalangan mereka memeluk Islam. Gereja Aya Sofya ditukar menjadi Masjid Aya Sofya untuk umat Islam menunaikan Solat Jumaat yang pertama. Constantinople ditukar nama kepada “Islam Bol”=”Bandar Islam”, sekarang dikenali sebagai Istanbul.

Sunday, April 26, 2009

::Buat Kaum Adam::

::Buat Kaum Adam::



LELAKI ACUAN AL-QURAN
SEORANG LELAKI YANG BERIMAN
MEMILIH MUSLIM MUTTAQEEN SEBAGAI JATI DIRI
HATINYA DISALUTI RASA TAQWA KEPADA ALLAH SWT
APABILA DISEBUT ASMA' ALLLAH..
GEMENTAR HATINYA, GEMURUH JANTUNGNYA

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA HAUS DENGAN ILMU
SOLATNYA ADALAH MARUAH DIRINYA
TIDAK PERNAH GENTAR UNTUK BERKATA BENAR
TIDAK PERNAH LESU UNTUK MELAWAN NAFSU

LELAKI ACUAN AL-QURAN
DIA YANG MENGHORMATI IBU BAPANYA
BAKTI DIHULURKAN BUAT AYAHBONDA DAN KELUARGA
DIA BAKAL MENJAGA KEHARMONIAN RUMAHTANGGANYA
KELAK MEMBERIKAN BIMBINGAN DUNIA DAN AKHIRAT
BUAT ZAUJAH JUA PERMATA HATINYA
WASATIAH AMALAN HIDUPNYA
PENDORONG MENUJU BAITI JANNATI
KERANA DUNIA BAGINYA HANYALAH
LADANG MENUJU AKHIRAT
JUA RUMAH SEMENTARA SAHAJA
MENUNGGU YANG NYATA DI AKHIRAT SANA

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA BERSEDIA UNTUK AD-DEENNYA
HIDUPNYA DISINARI CAHAYA NAUNGAN AL-QURANUL KARIM
SIFAT RASULULLAH KETAATAN DIRINYA
BICARANYA ADALAH AMALANNYA
GERAK LAKUNYA ADALAH ILMUNYA

LELAKI ACUAN AL-QURAN
PABILA MENGHADAP WAJAHNYA KEPADA YANG MENCIPTA
BERDIRINYA PENUH TERTIB
RUKUKNYA PENUH TAWADHU'
SUJUDNYA PENUH KUSYUK
DUDUKNYA PENUH TASYAHHUD
DOANYA PENUH MALU
"YA ALLAH, ANDAINYA KEJAHATAN TAK KU LAKUKAN KERANA TAKUT AKAN BAKARAN API NERAKA-MU, MAKA KAU CAMPAKKANLAH AKU KEDALAMNYA... ANDAINYA AKU MENDAMBAKAN SYURGA-MU KERANA PAHALA YG KAU JANJIKAN, MAKA KAU HARAMKANLAH KAKIKU MENJEJAK SYURGA IMPIANKU ITU,TETAPI JIKA HIDUPKU MATIKU KERANA MENGHARAPKAN REDHA-MU YA RABB, MAKA JANGANLAH KAU MALAPKAN HATI INI KERANA HATI INI TELAH BERLABUH UNTUK
SENTIASA TAAT DAN DEKAT DENGANMU,WAHAI RABBUL 'IZZATI.."

LELAKI ACUAN AL-QURAN
BASAH MATANYA KERNA RINDU-NYA PADA YANG KHALIQ
BASAH LIDAHNYA KERANA SELALU MENYEBUT ASMA' TUHANNYA
GEMAR TELINGANYA MENDENGAR ALUNAN ZIKIR MUNAJAT
TANGKAS LANGKAH KAKINYA BERJEMAAH DI RUMAH ALLAH

LELAKI ACUAN AL-QURAN
MEDAN PERJUANGAN SYAHID IMPIANNYA
HAYYA 'ALAL JIHAAD!!
MENYERU PARA MUJAHIDDEEN
DIALAH KUBU PERTAHANAN ISLAM
TEGAS DENGAN KAFIR LAKNATULLAH
TAKKAN MUDAH ISLAM TUNDUK PADA KUASA KUFFAR
KELUAR DIJALAN ALLAH SETINGGI CITA-CITANYA
TEGAKNYA MEMASAKKAN KALIMAH ALLAH DI PELUSUK DUNIA
KEWAJIPAN SEORANG DA'E BAGAI DIRINYA
HATINYA BAGAIKAN TAHU
BAHAWA MASIH RAMAI YANG CUKUP DAHAGAKAN
SUATU GEMERLAPAN CAHAYA ISLAM YG MAHA INDAH

DIALAH LELAKI ACUAN AL-QURAN
DIA LAYAK BUAT
WANITA ACUAN AL-QURAN JUA..
KERANA, BUATMU WANITA...
ANDAI DIRI MENGHARAP TEMAN SEZUHUD ALI KARRAMALLAHU WAJHAH
HIASILAH DIRI UMPAMA PEMURAHNYA FATIMAH AZ-ZAHRA
USAH DIDAMBA TEMAN SETAKWA NABI ALLAH IBRAHIM AS
ANDAI HATI TIDAK DISALUTI KETABAHAN SITI HAJAR
MENGAPA IMPIKAN TEMAN SEHEBAT KEKASIH ALLAH,MUHAMMAD SAW
ANDAI KESETIAAN BAGAI KHADIJAH AL-KHUWAILID BUKAN WAJAH DIRIMU!

Monday, April 20, 2009

Barah Kepala dan Leher (di Malaysia) : Pengesanan Awal

Artikel ini adalah berkenaan soal-jawab radio Kedah FM oleh Dr Zulkifli b. Yusof,

Pakar Hidung, Telinga dan Tekak, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star.


Barah kepala dan leher: Pengesanan awal


1. Bolehkah doktor terangkan serba sedikit berkenaan penyakit barah kepala dan leher di Kedah?


Penyakit barah kepala dan leher, seperti penyakit barah yang lain menunjukkan peningkatan di negara kita termasuklah di Kedah. Kejadiaanya mendekati di negara maju. Dari pemerhatian kami dari tahun 2000 hingga 2009, pesakit barah kepala dan leher menunjukkan peningkatan di negeri ini. Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan pesakit yang datang kepada kami berada di tahap yang teruk ( advanced ).


2. Bolehkan doktor terangkan jenis-jenis barah kepala dan leher ?


Barah kepala dan leher ada beberapa jenis. Di Kedah ( juga di Malaysia ), jenis yang paling kerap adalah barah pangkal hidung ( Nasopharyngeal carcinoma ), diikuti oleh barah mulut ( Oral cancer ) dan barah peti suara ( Laryngeal cancer ). Di negara barat, jenis yang paling kerap adalah barah peti suara manakala di India dan Pakistan ialah barah mulut. Barah pangkal hidung kerap berlaku di kalangan pesakit Cina dan Melayu. Bahkan negara kita termasuk kawasan endemic ( berisiko tinggi ) bagi barah jenis ini. Lain-lain barah ialah barah rongga hidung dan sinus, barah kelenjar air liur ( kelenjar parotid dan submandibular ) dan barah salur pemakanan ( Pharygeal cancer ).


3. Apakah penyebab barah ?


Penyebab barah tidak diketahui. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko ( risk factors ) yang menyebabkan seseorang mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk menghidapi barah kepala dan leher. Faktor risiko ini boleh dibahagikan kepada dua iatu faktor luaran ( extrinsic ) dan faktor dalaman ( intrinsic ).


Antara faktor luaran yang penting adalah:


  1. Merokok- biasanya berlaku dikalangan orang lelaki. Risikonya meningkat jika lebih banyak puntung rokok dihisap dalam sehari dan tempoh yang lebih lama.
  2. Makan sireh- teutama dikalangan perempuan berbangsa India dan Melayu. Kesemua bahan didalam ’pakej sireh’ boleh menyebabkan barah sama ada sireh, pinang, tembakau atau kapurnya.
  3. Minum alkohol- masalah banyak berlaku dikalangan masyarakat barat. Di Kedah saya rasa ianya tidak begitu serius.

Manakala faktor dalaman pula adalah faktor keturunan. Seseorang itu mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi barah kepala dan leher jika keluarga terdekat telah menghidapi penyakit tersebut.


Terdapat juga sebahagian kecil pesakit barah yang masih muda ( berumur sekitar 30-40 tahun ) dan tiada faktor risiko. Barah dari kumpulan ini kami dapati lebih ganas dan lebih sukar untuk disembuhkan.


4. Menyentuh berkenaan pengesanan awal barah kepala dan leher. Apakah kepentingannya ?


Mencegah adalah lebih baik dari merawat ( riqayah khairun minal ilaj ). Dengan itu pengesanan awal dan mencegah barah dari terus membesar adalah penting. Kami sentiasa memikirkan cara agar pesakit datang kepada kami pada peringkat awal barah. Program di radio seperti ini diharap dapat menyebarkan maklumat seperti ini.

Pengesanan awal penting supaya rawatan barah menjadi lebih mudah. Maknanya, jika memerlukan pembedahan, ianya adalah lebih kecil dan tidak begitu rumit. Kemungkinan untuk sembuh juga akan menjadi lebih baik ( good prognosis ) dan seterusnya akan memberikan lebih kegembiraan kepada pesakit dan keluarga. Sudah tentunya kami sebagai perawat perubatan akan turut merasa gembira.


5. Apakah gejala-gejala awal barah kepala dan leher ?


Saya terangkan di sini gejala-gejala awal beberapa jenis barah kepala dan leher yang telah saya nyatakan sebelum ini.


Bagi barah pangkal hidung ( Nasopharyngeal carcinoma ) ialah darah pada air liur, hidung tersumbat, hidung berdarah dan kurang pendengaran ( kerana telinga mempunyai hubungan dengan pangkal hidung ).


Bagi barah mulut pula tanda-tanda awalnya adalah luka ( ulcer ) dalam mulut yang tidak sembuh melebihi 2-3 minggu, tumbuh isi di dalam mulut dan berdarah apabila memberus gigi. Kebiasaannya luka ini adalah tidak sakit.


Bagi barah peti suara tanda-tanda awalnya adalah suara berubah/parau ( hoarseness ) yang melebihi 2-3 minggu terutama bagi orang yang menghisap rokok dan darah pada air liur.


Manakala bagi barah kelenjar air liur adalah benjolan di leher yang membesar dengan agak cepat.


Kesemua tanda-tanda yang saya terangkan tadi adalah gejala awal yang perlu pendengar semua perhatikan. Malangnya kami di hospital menerima kebanyakan pesakit pada tahap yang lewat. Mungkin terdapat beberapa faktor penyebab seperti takut berjumpa doktor pakar, kegagalan doktor biasa mengesan penyakit pada peringkat awal dan kepercayaan yang mendalam terhadap bomoh dan perubatan alternatif yang menyumbang kepada kegagalan pengesanan awal.


Akibatnya kos rawatan akan bertambah, rawatan yang semakin rumit dan kemungkinan untuk sembuh menjadi lebih tipis.


6. Bolehkah doktor terangkan bentuk-bentuk rawatan barah kepala dan leher ?


Rawatan barah kepala dan leher, seperti rawatan barah yang lain adalah kompleks dan bersifat ’multidisiplin’ iaitu melibatkan beberapa disiplin perubatan. Secara umumnya terdapat tiga bentuk rawatan utama bagi tujuan penyembuhan iaitu pembedahan ( surgery), sinaran ( radiotherapy ) dan ubatan ( chemotheraphy ). Yang terpenting bagi barah kepala dan leher adalah pembedahan dan sinaran. Di Kedah, pembedahan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Manakala bagi sinaran pula pesakit perlu dirujuk ke Pulau Pinang kerana kita masih belum mempunyai unit sinaran di negeri ini. Rawatan ubatan boleh dilakukan di Kedah atau Pulau Pinang. Kebiasaannya pesakit barah memerlukan lebih dari satu bentuk rawatan.


7. Apakah harapan doktor berkenaan barah kepala dan leher di Kedah?


Harapan kami adalah supaya masyarakat mempunyai kefahaman asas terhadap tanda-tanda awal barah kepala dan leher, berjumpa doktor jika merasakan mempunyai tanda-tanda awal barah secepat mungkin dan yang paling penting adalah cuba menghindari dari terlibat dengan faktor-faktor risiko barah seperti merokok, makan sireh dan meminum alkohol. Amallah cara hidup yang sihat.


Pengesanan awal dan seterusnya rawatan awal akan memudahkan tugas kami di hospital.

Wednesday, April 8, 2009

SELAGI ADA LELAKI SOLEH MAKA PASTI JUGA ADA WANITA SOLEHAH..

Allah swt telah menjadikan manusia dengan penuh keseimbangan, maka mustahil akanpupus wanita solehah sekiranya lelaki soleh masih terdapat melata di atas jalan-jalan di muka bumi dan demikianlah juga sebaliknya.

Hal ini juga disebabkan kedua-duanya saling berkait rapat dan memerlukan, maka mustahil Allah Yang Maha Adil dan Pemurah akan menzalimi hamba-Nya dengan membiarkan mereka tanpa pasangan yang setara dan sesuai sedangkan Al-Quran telah pun menjamin hal yang sedemikian.


Firman ALLAH S.W.T yang maksudnya:

“Lelaki yang berzina tidak boleh mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak boleh dikawini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.” - (An-Nur : 3)

Firman ALLAH S.W.T yang maksudnya:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadibpenolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” - (At-Taubah : 71)

Di dalam ayat di atas Allah swt telah menyebut secara jelas akan hal ini apabila Dia berfirman "sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain" yang bermaksud, lelaki dan wanita yang beriman itu ialah merupakan pembantu dan penolong kepada sebahagian yang lain. Maka wanita yang solehah, pastinya tidak akan berada jauh daripada lingkungan lelaki yang soleh.

Ibarat aur dengan tebing, seperti lebah dengan bunga, ibu dan anak. Maka sekiranya kita dapat menemui kelibat lelaki soleh di sebuah tempat, nescaya kita juga pasti akan dapat menghidu keharuman wanita solehah yang turut berada di berhampiran. Ini mungkin disebabkan kerana kerosakan zaman dan umat yang sarat dengan penyakit yang semakin membusuk maka kewangian usaha dakwah yang dilakukan oleh lelaki dan wanita yang soleh dan usaha mereka menegakkan agama pasti akan mudah tercium dan dibezakan dari bauan yang lain biar pun jauhnya beribu batu.

Jadi sahabat-sahabat, jangan risau kalau-kalau tiada yang berkenan kepada kita. Allah kan ada? Kita merangcang dan Allah juga merancang tetapi sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah. kan3X? Perkara yang lebih penting di sini ialah untuk sentiasa memperbaiki diri dan berusaha untuk menjadi seorang lelaki yang soleh atau seorang perempuan yang solehah di samping untuk mencari lelaki/perempuan yang soleh/solehah. Jangan lupa! Usaha pun kena ada. (Usaha+Doa=Tawakkal)

Seorang lelaki yang soleh dan seorang perempuan yang solehah seharusnya mempunyai keazaman untuk hidup bersama dan mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan usaha da'wah yang Rasulullah S.A.W. telah mulakan. Moga kita tergolong di kalangan ummat Baginda S.A.W. yang cintakan sunnahNya dan sentiasa cuba untuk melaksanakan tanggungjawab da'wah Islamiah di muka bumi ini insyaAllah.

Sufyan Ats-Tsauri ada mengatakan : "Jika sampai (khabar) kepadamu tentang seseorang di arah timur ada pendukung sunnah dan yang lainnya di arah barat maka kirimkanlah salam kepadanya dan do'akanlah mereka. Alangkah sedikitnya Ahlul Sunnah wal Jama'ah".
(Diriwayatkan oleh Al-Lalika'i dalam Syarhus Sunnah Jilid 1 ms. 64 dan Ibnul Jauzi dalam
Talbisul Iblis ms.9 )


Wednesday, April 1, 2009

BILA DIBOLEHKAN MENGUMPAT ???



(Gambar Hiasan)


Soalan :

Seringkali kita diperdengarkan tentang haramnya mengumpat atau bercerita tentang hal orang lain (ghibah). Namun begitu, apakah benar ghibah adalah haram untuk semua keadaan?

Jawapan :

Berdasarkan dalil-dalil berkenaan Ghibah, para ulama dan sebahagian besar mereka bersepakat bahawa secara umumnya mengumpat(Ghibah) adalah haram . Ghibah dibolehkan untuk tujuan yang sah mengikut syari’at, di mana ada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan kecuali hanya dengan melakukan ghibah tersebut.

Ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah yang membenarkan dan tidak melarang Ghibah pada keadaan tertentu seperti yang disebutkan dalam dalil-dalil di bawah. Terdapat enam situasi yang membolehkan Ghibah dilakukan:

Pertama, mengadukan kezhaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan itu

Kedua, permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.

Ketiga, permintaan fatwa (al istiftâ`). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yîn), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di bawah nanti.

Keempat
, mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majrûhîn) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dsbnya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushâharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.

Kelima
, seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Keenam, panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:
عن عائشة رضي الله عنها أن رجلا استأذن على النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ “ائذنوا له، بئس أخو العشيرة‏؟‏ ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]
Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).
وعنها قالت‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ما أظن فلانًا وفلانًا يعرفان من ديننا شيئًا‏”‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏ قال الليث بن سعد أحد رواة هذا الحديث‏:‏ هذان الرجلان كانا من المنافقين

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.
وعن فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم، فقلت‏:‏ إن أبا الجهم ومعاوية خطباني‏؟‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏‏”‏أما معاوية،
فصعلوك لا مال له ، وأما أبوالجهم، فلا يضع العصا عن عاتقه‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaq alaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:

‏”‏وأما أبو الجهم فضراب للنساء‏”‏
Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.
وعن زيد بن أرقم رضي الله عنه قال‏:‏ خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في سفر أصاب الناس فيه شدة، فقال عبد الله بن أبي‏:‏ لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا وقال‏:‏ لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل فأتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأخبرته بذلك، فأرسل إلى عبد الله بن أبي ، فاجتهد يمينه‏:‏ ما فعل، فقالوا‏:‏ كذب زيد رسول الله صلى الله عليه وسلم فوقع في نفسي مما قالوا شدة حتى أنزل الله تعالى تصديقي ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏}‏ ثم دعاهم النبي صلى الله عليه وسلم، ليستغفر لهم فلووا رءوسهم‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)

Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: "kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka." [Muttafaq alaih]

وعن عائشة رضي الله عنها قالت‏:‏ قالت هند امرأة أبي سفيان للنبي صلى الله عليه وسلم ‏:‏ إن أبا سفيان رجل شحيح وليس يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت منه، وهو لا يعلم‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaqun Alaih]