Monday, April 20, 2009

Barah Kepala dan Leher (di Malaysia) : Pengesanan Awal

Artikel ini adalah berkenaan soal-jawab radio Kedah FM oleh Dr Zulkifli b. Yusof,

Pakar Hidung, Telinga dan Tekak, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star.


Barah kepala dan leher: Pengesanan awal


1. Bolehkah doktor terangkan serba sedikit berkenaan penyakit barah kepala dan leher di Kedah?


Penyakit barah kepala dan leher, seperti penyakit barah yang lain menunjukkan peningkatan di negara kita termasuklah di Kedah. Kejadiaanya mendekati di negara maju. Dari pemerhatian kami dari tahun 2000 hingga 2009, pesakit barah kepala dan leher menunjukkan peningkatan di negeri ini. Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan pesakit yang datang kepada kami berada di tahap yang teruk ( advanced ).


2. Bolehkan doktor terangkan jenis-jenis barah kepala dan leher ?


Barah kepala dan leher ada beberapa jenis. Di Kedah ( juga di Malaysia ), jenis yang paling kerap adalah barah pangkal hidung ( Nasopharyngeal carcinoma ), diikuti oleh barah mulut ( Oral cancer ) dan barah peti suara ( Laryngeal cancer ). Di negara barat, jenis yang paling kerap adalah barah peti suara manakala di India dan Pakistan ialah barah mulut. Barah pangkal hidung kerap berlaku di kalangan pesakit Cina dan Melayu. Bahkan negara kita termasuk kawasan endemic ( berisiko tinggi ) bagi barah jenis ini. Lain-lain barah ialah barah rongga hidung dan sinus, barah kelenjar air liur ( kelenjar parotid dan submandibular ) dan barah salur pemakanan ( Pharygeal cancer ).


3. Apakah penyebab barah ?


Penyebab barah tidak diketahui. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko ( risk factors ) yang menyebabkan seseorang mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk menghidapi barah kepala dan leher. Faktor risiko ini boleh dibahagikan kepada dua iatu faktor luaran ( extrinsic ) dan faktor dalaman ( intrinsic ).


Antara faktor luaran yang penting adalah:


  1. Merokok- biasanya berlaku dikalangan orang lelaki. Risikonya meningkat jika lebih banyak puntung rokok dihisap dalam sehari dan tempoh yang lebih lama.
  2. Makan sireh- teutama dikalangan perempuan berbangsa India dan Melayu. Kesemua bahan didalam ’pakej sireh’ boleh menyebabkan barah sama ada sireh, pinang, tembakau atau kapurnya.
  3. Minum alkohol- masalah banyak berlaku dikalangan masyarakat barat. Di Kedah saya rasa ianya tidak begitu serius.

Manakala faktor dalaman pula adalah faktor keturunan. Seseorang itu mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi barah kepala dan leher jika keluarga terdekat telah menghidapi penyakit tersebut.


Terdapat juga sebahagian kecil pesakit barah yang masih muda ( berumur sekitar 30-40 tahun ) dan tiada faktor risiko. Barah dari kumpulan ini kami dapati lebih ganas dan lebih sukar untuk disembuhkan.


4. Menyentuh berkenaan pengesanan awal barah kepala dan leher. Apakah kepentingannya ?


Mencegah adalah lebih baik dari merawat ( riqayah khairun minal ilaj ). Dengan itu pengesanan awal dan mencegah barah dari terus membesar adalah penting. Kami sentiasa memikirkan cara agar pesakit datang kepada kami pada peringkat awal barah. Program di radio seperti ini diharap dapat menyebarkan maklumat seperti ini.

Pengesanan awal penting supaya rawatan barah menjadi lebih mudah. Maknanya, jika memerlukan pembedahan, ianya adalah lebih kecil dan tidak begitu rumit. Kemungkinan untuk sembuh juga akan menjadi lebih baik ( good prognosis ) dan seterusnya akan memberikan lebih kegembiraan kepada pesakit dan keluarga. Sudah tentunya kami sebagai perawat perubatan akan turut merasa gembira.


5. Apakah gejala-gejala awal barah kepala dan leher ?


Saya terangkan di sini gejala-gejala awal beberapa jenis barah kepala dan leher yang telah saya nyatakan sebelum ini.


Bagi barah pangkal hidung ( Nasopharyngeal carcinoma ) ialah darah pada air liur, hidung tersumbat, hidung berdarah dan kurang pendengaran ( kerana telinga mempunyai hubungan dengan pangkal hidung ).


Bagi barah mulut pula tanda-tanda awalnya adalah luka ( ulcer ) dalam mulut yang tidak sembuh melebihi 2-3 minggu, tumbuh isi di dalam mulut dan berdarah apabila memberus gigi. Kebiasaannya luka ini adalah tidak sakit.


Bagi barah peti suara tanda-tanda awalnya adalah suara berubah/parau ( hoarseness ) yang melebihi 2-3 minggu terutama bagi orang yang menghisap rokok dan darah pada air liur.


Manakala bagi barah kelenjar air liur adalah benjolan di leher yang membesar dengan agak cepat.


Kesemua tanda-tanda yang saya terangkan tadi adalah gejala awal yang perlu pendengar semua perhatikan. Malangnya kami di hospital menerima kebanyakan pesakit pada tahap yang lewat. Mungkin terdapat beberapa faktor penyebab seperti takut berjumpa doktor pakar, kegagalan doktor biasa mengesan penyakit pada peringkat awal dan kepercayaan yang mendalam terhadap bomoh dan perubatan alternatif yang menyumbang kepada kegagalan pengesanan awal.


Akibatnya kos rawatan akan bertambah, rawatan yang semakin rumit dan kemungkinan untuk sembuh menjadi lebih tipis.


6. Bolehkah doktor terangkan bentuk-bentuk rawatan barah kepala dan leher ?


Rawatan barah kepala dan leher, seperti rawatan barah yang lain adalah kompleks dan bersifat ’multidisiplin’ iaitu melibatkan beberapa disiplin perubatan. Secara umumnya terdapat tiga bentuk rawatan utama bagi tujuan penyembuhan iaitu pembedahan ( surgery), sinaran ( radiotherapy ) dan ubatan ( chemotheraphy ). Yang terpenting bagi barah kepala dan leher adalah pembedahan dan sinaran. Di Kedah, pembedahan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Manakala bagi sinaran pula pesakit perlu dirujuk ke Pulau Pinang kerana kita masih belum mempunyai unit sinaran di negeri ini. Rawatan ubatan boleh dilakukan di Kedah atau Pulau Pinang. Kebiasaannya pesakit barah memerlukan lebih dari satu bentuk rawatan.


7. Apakah harapan doktor berkenaan barah kepala dan leher di Kedah?


Harapan kami adalah supaya masyarakat mempunyai kefahaman asas terhadap tanda-tanda awal barah kepala dan leher, berjumpa doktor jika merasakan mempunyai tanda-tanda awal barah secepat mungkin dan yang paling penting adalah cuba menghindari dari terlibat dengan faktor-faktor risiko barah seperti merokok, makan sireh dan meminum alkohol. Amallah cara hidup yang sihat.


Pengesanan awal dan seterusnya rawatan awal akan memudahkan tugas kami di hospital.

2 comments:

armouris said...

info tentang barah mulut kat sini - Barah Mulut

DiAnA mAdIhAh said...

kalau kita ada barah otak,darah keluar tak melalui hidung...sebabnya saya keliru..macam mana nak mengatasi..??