Thursday, July 31, 2008

Jangan mudah putus asa wahai da'ie robbani !!!



Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai’e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.


Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah. Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan.


Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah Kisah seorang Nabi
Diuji Allah begitu sekali

Wahai Dai’e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da’wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai’e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: "Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.” (Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:

“Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” (Al-Anbiyaa’:87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai’e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali-‘Imran:139)

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

Sunday, July 27, 2008

Rimbun Keampunan

Ku mengintai ketenangan di antara kekalutan

Kerana keinginan tidak pernah kesampaian

Ku kutip sisa-sisa dari segala keruntuhan

Bangkit semula meneruskan baki perjalanan



Ku menghimpun kekuatan ku memohon ketabahan

Meredah gelombang hidup dan dugaan mencabar

Ku anggap kegagalan bukan suatu kekalahan

Tapi suatu kejayaan yang masih tertunda



Ku meminta diberikan sejenak kesempatan

Untuk ku ulangi kembali langkah pertama

Keperitan yang ku rasa mengajar erti kesabaran

Menyedarkan ku insan memerlukan Mu Oh Tuhan



Di rimbun keampunan ku mencari keredhaan

Melerai segala kusut dan kecamuk dihati

Ku cari kejernihan di segenap ruang maya

Masih ku sedar ku sedang diperhatikan Mu Oh Tuhan

Saturday, July 26, 2008

Dengarlah...

Dengarlah...

Allah menciptakan untuk kita dua telinga, agar kita dapat mendengar. Tanyakan pada diri anda sendiri...



Adakah aku seorang pendengar yang baik?



Lain orang lain karekteristik. Ada yang cenderung untuk meluahkan segala apa yang terlintas di dalam benak fikiran. Ada pula yang lebih cenderung melihat, merenung dan "menerima" berbanding meluahkan.

Bukan mudah untuk menjadi seorang pendengar yang baik, apatah lagi efektif. Nyatanya, kemampuan ini amatlah penting dalam memperbaiki dan menambah baik hubungan kita dengan manusia lain. Hidup bukan sekadar menerima, tetapi perlu ada sesuatu yang harus diberi juga.



Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:"Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya." (Riwayat Al-Bukhari)



Untuk menjadi pendengar yang efektif, cuba hayati petunjuk-petunjuk asas yang digariskan oleh Prof. Dr. Taufik Yusuf al-Wa'iy:

1. Dengarlah dengan positive thinking, dan berusahalah belajar apa saja dari apa yang dikatakan lawan bicara Anda.

2. Semaklah apa yang Anda dengar, memasang pendengaran yang lebih peka, sambut komentar pembicara, apakah yang dikatakan itu rasional? Apakah ucapannya itu didukung oleh kredibiliti peribadinya? Apakah kata-katanya bermakna? Cubalah bezakan antara informasi yang Anda terima dan "Sebaiknya Anda ketahui" serta "Harus Anda ketahui"

3. Tampakkan reaksi terhadap apa yang Anda dengar. Ajukan pertanyaan dengan ringkas pada point-point yang penting sahaja menurut Anda, lalu bandingkan dan gambarkan dengan standard yang lebih baik

4. Libatkan diri Anda dengan pembicara, dengan gerakannya, ungkapan yang terlihat pada wajahnya, persetujuannya dan cara bicaranya yang cepat. Jangan terlalu memperhatikan kalimat tertentu yang melecehkan Anda, kemudian membalasnya dengan kalimah pelecehan serupa.

Di sini juga ada tips untuk memperbaiki kemampuan mendengar dari beliau:

1. Sebaiknya anda diam
Anda takkan mungkin berbicara dan menyemak pembicaraan orang lain dalam satu waktu, kerana Allah Azza wa Jalla menciptakan untuk Anda dua pasang telinga dan sebuah lidah agar Anda lebihnbanyak mendengar daripada berbicara

2. Anda harus memahami bahawa keberhasilan Anda terletak pada kemampuan Anda mendengar dengan baik
Tenteramkan diri Anda bahawa sesungguhnya Anda tidak menyemak pembicaraan orang lain agar Anda tampak lembut pada pandangan mereka sahaja, tapi dengan cara itu Anda akan memperoleh kekuatan, penghormatan, penghargaan dan cinta. Dan, Anda akan memperoleh apa yang Anda inginkan, berupa informasi yang membuat Anda lebih efektif dan sukses.

3. Diamlah agar anda faham
Anggaplah bahawa apa yang Anda lakukan (mendengar dengan baik) hanya menggunakan waktu dan tenaga yang kecil, namun akan menghasilkan manfaat besar besar bagi Anda dalam bentuk pemahaman dan pengetahuan

4. Rendah hati mengutarakan apa yang ada pada diri Anda dan beri kesempatan kepada yang lain
Hanya Anda seorang yang beranggapan bahawa apa yang Anda katakan atau akan Anda ucapkan lebih penting dari apa yang dikatakan oleh orang lain, dan itu adalah persepsi yang salah

5. Siapkan diri Anda untuk mendengar
Fahamilah orang yang hendak berbicara dan tema yang akan ia bicarakan. Tentukan tujuan yang ingin Anda capai melalui perhatian Anda ketika mendengar.

6. Berusahalah agar Anda dapat berkonsentrasi saat mendengar
Sebahagian besar orang mampu mengucapkan kurang lebih 120 kata dalam seminit, sedangkan kemampuan mendengar kita mencapai 480 kata seminit, atau 4 kali kemampuan berbicara. Perbezaan ini membuat memori kita akan terpecah apabila mendengar pembicaaraan orang lain. Maka, apabila kita mampu mencurahkan perhatian kita terhadap seorang pembicara (untuk mentransfer 200 kata peminit, setengah dari kemampuan mendengar) nescaya memori kita takkan ter pecah dan terganggu untuk memahaminya, dan ini dapat kita capai melalui konsentrasi mata kepada lawan bicara dan berusaha memikirkan apa yang ia katakan. Duduk atau berdiri dengan posisi yang nyaman dan sekali-sekali mengajukan beberapa pertanyaan sebagai bukti adanya respon positif.

7. Perhatikan isyarat yang berasal dari lawan bicara
Cubalah perhatikan dengan baik apa yang dikatakan lawan bicara Anda melalui gerakan matanya, isyarat tangan, gerak tubuhnya, atau perubahan intonasi suaranya.

8. Tahanlah lidahmu
Jangan potong pembicaraan orang lain dan Anda dapat menyimpulkan sesuatu tentangnya setelah ia selesai berbicara. Tampakkanlah bahawa apa yang ia katakan itu benar (sebagaimana ia meyakini dan mempercayai kata-katanya). Apabila ia mulai berbicara tanpa arah, segeralah hentikan pembicaraannya dan katakan sebab interupsi Anda, lalu biarkan ia menyempurnakan pembicaraanya.

9. Jangan sibukkan diri Anda untuk membalas kata-katanya saat ia berbicara
Sikap Anda ini akan merosak konsentrasi memori, kerana Anda perlu beberapa detik agar dapat berfikir untuk membalas ucapan sebelum melakukannya, sementara orang lain akan menunggu Anda. Tidak ada salahnya bila diam sejenak agar ia menghabiskan pembicaraannya, hingga tiba giliran anda.

10. Hindarilah segala sesuatu yang dapat mengganggu perhatian
Cubalah bersikap acuh atas keributan dan gangguan yang terjadi di sekeliling Anda. Berusahalah agar mampu mengatasi segala sesuatu yang dapat menghilangkan konsentrasi dan perhatian, samada berasal dari suasana sekeliling atau bersumber dari pembicara itu sendiri.

11. Katakan pada diri Anda bahawa Anda harus mengetahui keperibadian lawan bicara
Sikap ini dapat membuat konsentrasi lebih kuat saat mendengar setiap kalimat yang diucapkan oleh seseorang. Bila hal ini dapat dicapai, maka Anda telah mendengar dengan baik

12. Belajarlah untuk tidak menghukum seseorang atau sebuah peristiwa kecuali telah memahaminya dengan baik.
Ini akan memaksa anda untuk mendengar dengan saksama dan penuh perhatian, agar dapat membangun dan membentuk gambaran tersendiri tentang peristiwa atau orang tersebut, lalu menentukan sikap dan keputusan.

Cuba hayati setiap isi yang disenaraikan di atas, dan boleh seterusnya kita praktikkan dalam kehidupan seharian kita insyaAllah. Bukankah Rasulullah menasihatkan kita agar kita hanya bercakap perkara kebaikan atau diam. Jika diam maka secara automatiknya kita akan mendengar.

Dengarlah dengan teliti...

dan bersabarlah

Monday, July 21, 2008

Doa buat Intan..

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.


"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai itu lagi.


"Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.


"Pah...oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.


"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.


"Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.


"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."




"Betullah Pah oii...saya ni baru saja balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."


"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mahu juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.


"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.


"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei.
"Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak sajalah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.


"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.
"Tapi bang..."


"Dahlah...pergi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.
Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.


"Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm...abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis.


"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama saja. Balik ya...," balas Pak Uwei.


Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.


"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.


"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.


"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duduk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"


"Itulah abah, selalu nampak yang buruk saja. BUkan semua yang kerja kilang duduk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama saja, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah." Intan cuba membuat abahnya faham.


"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!"


"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya.


"Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka. Aku tak nak ambil tahu lagi!" Sejak kejadian itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja.

RIANG hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.


"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara.
"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.


"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya.


"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru saja keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz.


"Tapi...pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan."


"Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.


"Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.


"Rumah baru tu besar sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis.


"Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis.


"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru saja keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham sajalah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.


"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."


"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.


"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.


"Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi...dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.


"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.


"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.
"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.


"Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.


PAGI Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.


"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"


"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."


"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.


"Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu." Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.


Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.


"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."


"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.


"Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak saja yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit.


Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.


"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...," ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.


"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.


"Abah ni... ke situ pulak...."


"Habis tu?"


"Ini... kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamatsebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.


"Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.
"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap abah sudi terima pemberian Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.


"Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.


"Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan."


"Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi abah dan mak kau Intan...," ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.


"Hah... tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.


"Mak ni...," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.



MASA yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.


"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.


"Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"


"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."


"Hah, awak dengar tu...kita ni nak pergi menunaikan ibadah bukan nak membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.


"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.



HANYA dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.


"Kenapa resah saja ni bang?" Mak Pah terjaga.


"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."


"Sabarlah dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.


Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka. "Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.


"Mana yang lain ni, kamu berdua saja?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.


"Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.


"Intan pun tak datang juga ke?" tanya Pak Uwei terasa hampa.


"Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya.


Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.


"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.


"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.


"Tapi abah rasa macam ada yang tak kena saja Az, dalam mimpi abah tu abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"


"Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman.


"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan.



SEBAIK turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.


"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.


"Sihat, cuma batuk-batuk saja sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.


"Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah.


"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.


"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.


"Sabar abah...," Muaz menggosok belakang abahnya.


"Kenapa Az...Kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.


"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah.


Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.


"Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.


"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.


"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah.


"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia ajak kami balik sini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.


Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."


-----------------
apa yang didatangi oleh Allah, itulah yang terbaik untuk kita....

Thursday, July 17, 2008

Berakhir sudah mimpi2 ngeri nan lalu..

Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah..setinggi kesyukuran ana rafaakan ke hadrat Allah Azza wa Jalla..setelah sebulan menghadapi musim imtihan akhir sanah, tepat pukul 1 stgh tghari 16hb7,berakhirlah setiap detik2 penuh azab..terkadang senyum penuh kepuasan, terkadang juga mengalir air mata kepiluan di hati lantaran susahnya nk jwb soalan2 exm tu..lain yg dibajet kluar,lain pula yg kluar..tp kdg2 mulut ni masin gak..kluar la sket2 yg dispot(tu la sape sruh spot lg)



Sbnrnya x abes lg paper ni sbb kena re-sit 1 paper lg..Pathology utk 1st sem dlu..berada di hospital selama sebulan utk menjalani rawatan akibat terbakar sedikit sebanyak memberi impak negatif dlm proses pembelajaran masa 1st sem utk 2nd year dlu..bukan senang weyh nak cover blk bnda yg lecturer ajar sebulan..sempatla trtinggal 1 block(Cardiovascular system)..klau bleh bc buku patho tu mcm baca komik je xpe..ni nk kene fhm dan hafal setiap ayat dlm buku tu..memg trkantoi la..tp kemalangan yg menimpa diri ini x prlu dislhkn kpd takdir Ilahi..sbb apa?sbb tu 1 bntuk ujianNya utk mengingtkn kembali hambaNya yg selalu alpa ni supaya kembali kepadaNya..

Pagi td baru je sorg housemate kembali ke bumi msia..(plg awal skali kat alex ni)..dan insyaAllah yg lain2 juga akan menyusul meninggalkan bumi anbiyak ni..ada yg syg dan ada yg bencikn bumi ni..sbb apa?kena duduk mesir ni dlu baru bleh tau..Tahun ni ana bertekad xnk blk msia walaupun teringin sgt nk blk msia brtemu keluarga trcinta..tp rindu ini ditahan dahulu kerana ada 1 lg bntuk kerinduan di hati ini..ingin menjejakkan kaki ke bumi di mana jasad Nabi Muhammad S.A.W. disemadikan..kami tahu Ya Rasulullah!!! Kau tidak mati bahkan hidup di sisi Allah..bersama KekasihMu..syafaatkanlah kami umatmu ini di akhirat kelak Ya Rasulullah! Cinta kepada Allah dan KekasihNyalah cinta yg abadi..insyaAllah bulan 8 nant ana dan shbt2 akan mengerjakan umroh ke sana..doakan segala urusan brjalan lncar..Cuti musim panas ni insyaAllah akan dimanfaatkn dgn sbaik2nya bg menmbh ilmu di dada..dada yg amat2 kekurangan cahaya ilmu..bantulah daku Ya Allah..

Wednesday, July 16, 2008

Muqaddimah & Natijah

“Kamu rasa bersalah tak lupakan ilmu yang diajar oleh pensyarah kamu? Ingat lagi kisah Imam Syafei? Dia terlupa ilmunya hanya kerana satu dosa,” kata-kata pensyarahnya seringkali bermain di penjuru fuadnya.



Saban waktu Lina terfikirkan kata-kata itu. Betapa banyaknya dosa yang dilakukan sehingga dia gagal mengingati ilmu yang diajarkan oleh pensyarahnya. Dia bersyukur pada Allah kerana berpeluang untuk bertemu dengan Kak Yana. Belum sempurna lagi taaruf di antara mereka lantaran keterbatasan waktu, tapi sempat dia meluahkan isi hatinya. Seakan-akan berlaku sesi ’curhat’ (curahan hati) ketika itu. Ukhwah kerana Allah terlalu indah. Insan yang merasainya seolah-olah berada dalam kecintaan yang amat. Cinta itu dapat dirasai walau hanya sebentar. Kata-kata Kak Yana seolah-olah memberinya motivasi kembali.



”Pertamanya adik tidak boleh anggap kisah Imam Syafei itu sebagai hukuman. Adik perlu menganggapnya sebagai motivasi. Dulu waktu akak belum mengenali tarbiah, akak pernah sahaja ber’couple’. Dunia akak penuh maksiat. Dan apabila akak mengenali tarbiah, ada juga suara yang berkata bahawa dosa yang pernah akak lakukan dulu akan dibalas di dunia. Ada yang berkata bahawa akak tidak akan mendapat suami yang soleh kerana di dalam Quran disebut lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Ada juga yang berkata seandainya akak mendapat suami yang baik, anak-anak akak pula tidak akan menjadi kerana akak akan dihukum oleh dosa-dosa akak yang lalu. Lantas akak tanyakan pada ustaz berkenaan persoalan ini”.



”Apa jawapan ustaz?” ujar Lina dengan penuh debar.



“Pertamanya ustaz tegaskan kat akak kalau akak percaya kata-kata yang akak akan mendapat suami yang buruk dan anak-anak yang tidak menjadi lantaran kerana dosa akak dahulu, maksudnya akak menutup pintu taubat yang Allah berikan. Ustaz katakan kat akak ayat Quran itu sebenarnya satu bentuk motivasi dari Allah. Seandainya kita nak suami yang soleh, kita hendaklah berusaha menjadi solehah. Tapi Allah yang menentukan segala perkara dan natijah. Segala kata-kata pensyarah adik itu satu bentuk motivasi agar adik elakkan diri dari dosa dan bukan satu hukuman,” jawab Kak Yana dengan penuh makna.



Seterusnya Kak Yana bertanyakan soalan, “Adik pernah baca muqaddimah tafsir fi zilalil quran (tafsir di bawah lembayung Quran) oleh Syed Qutb?



Dengan muka berkerut-kerut Lina berkata, “Kenapa kak? Ada apa-apa ke?”



”Seandainya semua orang kat dunia ni faham perkara yang Syed Qutb tekankan dalam muqaddimahnya, tiadalah kesedihan di dalam hati mereka”.



”Apa yang Syed Qutb katakan dalam muqaddimahnya?” tanya Lina kembali.



Kak Yana menghulurkan tafsir fi zilalil quran kepada Yana dan menunjukkan muqaddimahnya. Di dalamnya tercatat:



"Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu disamping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.



Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan."



”Adik faham tak?” tanya Kak Yana.



”Boleh akak terangkan kat saya?”



”Dalam hidup ini kita tidak boleh mengaitkan muqaddimah dengan natijah. Kita tidak boleh cakap kita lupa sebab dosa kita. Contohnya, tidak semua yang belajar akan berjaya. Ada yang belajar 12 jam sehari tetapi masih gagal. Ada pula yang hanya belajar sebentar sahaja tapi berjaya. Kita dah diajar bahawa untuk berjaya kita perlu berusaha. Tapi sebab berusaha tu belum tentu lagi menjanjikan kejayaan. Apa yang menentukan kejayaan atau kegagalan? Iradat Allah yang bebas. Kehendak Allah yang tidak mampu dijangkau oleh manusia. Apabila adik mengangkat tangan misalnya, semua itu Allah dah tentukan sejak sebelum adik lahir lagi. Apatah lagi urusan kejayaan atau kegagalan. Tapi sebab adik tidak tahu apa yang Allah dah tentukan untuk adik, maka adik akan berusaha”.



Kak Yana menambah lagi, ”Sunnatullah menyaksikan mereka yang berusaha akan berjaya. Adik perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Tapi jangan sesekali mengaitkan muqaddimah dengan natijah. Apa sahaja keputusan yang adik perolehi semuanya dalam pengetahuanNya. Tiada lagi kesedihan dalam hati setiap Muslim yang memahami hal ini kerana dia mengetahui bahawa Allah penentu segalanya”.



”Saya dah faham. Terima kasih, kak.”. Ujar Lina dengan hati berbunga-bunga untuk terus berusaha.

Thursday, July 3, 2008

Pembela Al-Quds : UMAR AL-KHATTAB

Salamullahi 'alaikum..alhamdulillah madah parasitology,histology dan medical ethics sudh slmt ditempuhi..walaupun ranjau2 brduri yg trpksa dilalui spnjg tempoh final exm ni terkadang amat pedih,tp baki dan sisa2 prjuangan ini tetap prlu diteruskn..lg 5 madah lg sblm pnderitaan ini berakhir..doakan kejayaan kami..insyaAllah kali ni ana nk brkongsi tntg sorg tokoh Islam yg amat masyhur di seantero dunia Islam..beliau merupakan antara sahabat2 Nabi S.A.W. yg rapat dgn baginda dan trmasuk dlm 10 org shbt yg dijanjikan syurga Allah 'Azza wa Jalla..sama2 kita telusuri sirah hidup beliau..



Nama sebenarnya Umar bin al-Khattab bin Naufal. Beliau dari suku Quraisy Bani Adi. Lahir pada tahun 583M. Rasulullah s.a.w. menggelarnya dengan nama al-Faruq yang bererti oreang yang tahu membezakan antara yang benar dan yang salah Saiyidina Umar r.a. juga terkenal sebagai ahli sastera yang hebat, syair yang bijaksana,pahlawan yang berani, orang yang adil dan mematuhi perintah Allah SWT.

Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a. banyak Negara telah berada dibawah pmerintahan Islam termasuklah Palestin di mana terdapat kota Baitu Maqdis. Umar al-Khattab telah berjaya membebaskan Baitu Maqdis atau al-Quds dari kekuasaan empayar Rom yang zalim. Penduduk al-Quds ketika itu majoritinya beragama Kristian menyambut dengan gembira pemerintahan Islam kerana mereka merasakan bebas dari penindasan dan kezaliman pemerintah Rom sebelum itu.

Setelah al-Quds jatuh ke tangan tentera Islam, penduduk beragama Kristian ingin membuat perjanjian damai dengan Khalifah Umar al-Khattab r.a. sendiri, mereka enggan membuat perjanjian dengan sesiapa pun di kalangan ketua-ketua Islam yang lain. Ini kerana mereka ingin melihat sendiri wajah Khalifah Umar al-Khattab r.a. yang terkenal dengan sifat adil dan kasihnya kepada golongan mustadaffin, fakir dan miskin. Mereka sanggup menunggu kedatangan Umar al-Khattab r.a.

Khalifah Umar al-Khattab memahami hasrat rakyat al-Quds, maka beliau pun berangkatlah ke sana dengan seorang pengiring dan seekor unta sebagai tunggangan dari Madinah. Oleh kerana ada hanya seekor unta sebagai tunggangan, maka khalifah dan pembantunya membuat persetujuann untuk menunggang unta secara bergilir-gilir dengan pembantunya, dimulai dengan khalifah selepas itu pembantunya sehinggalah tiba di kota al-Quds.

Apabila hampir tiba di ibu kota al-Quds, tibalah giliran pembantunya menaiki unta dan khalifah berjalan kaki. Pengiringnya enggan menaiki unta kerana dilihatnya ramai penduduk sedang menyambut kedatangan khalifah Umar al-Khattab, pada pendapatnya tentulah tidak wajar dia yang menunggang unta sedangkan khalifah berjalan kaki. Lagi pun penduduk menunggu kedatangan khalifah, sudah tentu khalifah yang sepatutnya diberi penghormatan menunggang unta bukan pembantunya.

Khalifah Umar al-Khattab marah dengan sikap pembantunya kerana menurut persetujuan sebelum berangkat mereka akan bergilr-gilir menunggang unta, kini adalah giliran pembantunya. Umar al-Khattab dengan tegas tetap menyuruh pembantunya menunggang unta. Menurut Umar al-khattab r.a. "inilah ajaran Islam, keadilan adalah hampir kepada taqwa, aku tidak sedikit pun keberatan berjlan kaki sedangkan engkau menunggang unta. Dan aku sama sekali tidak berasa terhina berbuat demikian. Terpulanglah kepada penduduk Baitul Maqdis untuk membuat tafsiranmasing-masing. Aku sanggup beri penjelasan jika mereka kehendaki. Nah sekarang, ikut perintahku, ikut perintah khalifahmu, naiklah untaini".

Setelah memasuki kota al-Quds, berduyun-duyunlah penduduk menyambut kedatangan khalifah Umar al-Khattab r.a., alangkah terkejutnya mereka melihat melihat peribadi agung khalifah yang masuk berjalan kaki sedangkan pembantunya menaiki unta. Dengan perasaan hairan bercampur kagum mereka menyaksikjan kejadian yang mengusik kalbu tersebut.

Betapa besarnya perbezaan khalifah Islam dengan Raja Rom yang memerintah mereka sebelum ini. Ini menambahkan lagi rasa hormat mereka pada khalifah Islam yang rendah diri. Inilah salah satu dari keadilan Umar al-Khattab r.a. Berapa ramai pemimpim dan raja-raja yang sanggup mencontohi peribadi mulia ini dizaman sekarang?

Kalau kita prhatikan kembali pmrintahan kerajaan di Malaysia skrg ini, lyk ke nk bndingkn pemimpin2 negara kita skrg ni shbt2 Nabi S.A.W.?ana brani ckp, jauh panggang dari api!!! rasuah menjadi permainan, duit rakyat digunakan utk tujuan yg lgsung x memberikan faedah kpd rkyat bahkan membebankan rakyat..sedih bila dgr rintihan rkyt2 yg brpendapatan sdrhana..apatah lg yg brpendapatan rendah..andai kata Nabi S.A.W. dibangkitkan utk memerhatikan umat baginda di malaysia, anda rasa baginda akan berasa tenang ke?for sure akan mengalir air mata baginda melihatnya..klau di mesir ni apatah lg..lg truk dr msia..sama2lah kita brdoa moga Allah menggantikan pemerintah tanah air kita dengan pemimpin yg brjiwa rakyat,yg mengamalkan Islam sbgai cara hidupnya dan menjalankan amanah yg dipikulkan ke atasnya dgn jujur,tulus dan ikhlas..ameen Ya Robbal 'alamin..